Friday 19 January 2018

Bibliotherapy

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Perkongsian ini diambil dari Facebook Saudara Zamri Mohamad.
Boleh Klik SINI untuk post asal..

"Penagih dadah menjadi pejuang buku"

Semasa sesi rehat di bengkel penulisan buku pertama semalam, saya duduk-duduk dengan seorang peserta bengkel yang merupakan pensyarah di bawah Fakulti Penguruan Maklumat UITM.

Dia pernah menghadiri latihan pengamalan bibliotherapy di Bandung, Indonesia.

Apakah itu bibliotherapy?

Jika menurut Jenni Ogden Ph.d, bibliotherapy merupakan cara membantu pembaca berhadapan situasi melalui terapi pembacaan.

Latihan kumpulan bibliotherapy pesat berlaku di United Kingdom melibatkan hospital dan sekolah perubatan.

Samual Crothers merupakan orang yang menggunakan perkataan bibliotherapy pada tahun 1916.

Dalam Bibiliotheca Historeca disebutkan, ruang buku diraja pada zaman raja Mesir, Ramses II adanya satu frasa, Rumah Penyembuhan Jiwa.

Pengkaji percaya ini adalah konsep bibliotherapy dalam sejarah yang menjadi teras sains perpustakaan.

Konsep ini didapati wujud berdasarkan catatan seorang sejarawan Greek bernama Diodorus

Konsep ini diangkat jauh dalam sejarah perbukuan dalam sains perpustakaan.

"Saya bertemu pasangan suami isteri di Indonesia. Seorang wanita menjalankan terapi buku ke atas seorang penagih dadah tegar yang sudah dilihat tidak ada harapan lagi. Setiap hari dia datang memilih buku yang betul dan membacakan untuk penagih di bawah jambatan. Lama kelamaan penagih itu memperoleh kekuatan mengubah hidup dan semakin pulih," cerita peserta bengkel semalam.

Apa yang berlaku?

Pengamal bibliotherapy dan lelaki yang sudah menjadi bekas penagih kemudian mendirikan rumahtangga.

Oh!

Dia semakin galak berkongsi, "Cerita tidak habis di situ. Lelaki itu kemudian membawa angkutan kota, iaitu van yang dijadikan pengangkutan awam di Indonesia. Dia meletakkan buku-buku dalam kenderaan dibawa untuk penumpang."

Lelaki itu percaya, jika buku yang betul disentuh tangan pembaca yang runsing dan resah dalam kehidupan seperti dia dahulu, maka buku itu adalah terapi menenangkan fikiran dan mengatur hidup pembaca kembali.

"Manakala isteri dia pula membawa buku dari satu tempat ke satu tempat memberikan secara percuma," tambahan kisah suami isteri yang mahu merawat psikologi rakyat Indonesia melalui pembacaan buku yang betul.

Subhanallah. Ilham yang tidak putus-putus Allah berikan dalam menambah baik kehidupan manusia melalui tangan-tangan manusia.

Pada tahun 1972, Hospital Al Mansur di Kaherah menggunakan Quran sebagai bibliotherapy kepada para pesakit.

Lalu saya kembali memasukkan diri ke dalam selimut sejarah, membaca serba sedikit amalan bibliotherapy.

Pada Perang Dunia Pertama, buku digunakan sebagai terapi ke atas pesakit. Perkara ini diusahakan oleh Perkhidmatan Perpustakaan Pertahanan.

Jauh berundur kembali ke kurun pertama, seorang ahli fizik dan falsafah Rome bernama Galen mengekalkan fungsi bibiliotherapy perpustakaan perubatan untuk kegunaan petugas spa rawatan, Sanctuary Asclepion.

"Preskripsi buku sebagai rawatan kepada pembaca dicadangkan dalam sesi," kata dia lagi.

Di pintu masuk dewan, sambil mendengar pencerahan pengamal bibliotherapy, saya terfikir adanya usaha membangunkan kumpulan penulis yang menguasai subjek dan buku-buku yang ditulis khusus untuk kumpulan bibliotherapy.

Cabang kerjaya berfokus dalam memulihkan fikiran manusia melalui menggunakan buku-buku yang disalurkan melalui kumpulan pengamal bibliotherapy.

No comments:

Post a Comment